Ngok-ngek

BismiLLAHirrahmanirrahim.


11:58:53 am. (waktu Daqahliyyah mengikut hp aku). Dia telefon aku.

...wei sedihnya! Nak balik dah eh? Mintak halalkan makan-minum-cakap-cakap. 0-0 eh. Wei! Kirim salam kat semua orang Malaysia tau.
Ada kat atas dah ni (dalam kapal terbang).
Jangan lupa doakan berjaya.
...(dia berdoa)...
Amiin. Okeh la eh.


Kami cakap tak lama. 40 saat. Aku kan cakap laju. Lagi pun aku tak mahu hp aku lemas dengan airmata.


Bukan sekarang aku baru bersedih. Sudah lama. Sejak dia memberitahu permintaan keluarganya untuk pulang ke tanah air, sejak dia mengajak aku menghantarnya ke lapangan terbang, dan sejak diberitahu tentang tiketnya confirmed lagi aku sudah menangis. Hampir tidak percaya aku akan menangis kerananya. Sungguh!

Aku sedih. Banyak kenangan kami cipta bersama. Kerana kami rapat. Dating (baca: dia pow duit aku-aku pow duit dia dalam agenda main makan-makan), rakan berfoya-foya, rakan berpeleseran, rakan per-bank-kan bergerak (iklan yang aku selalu guna; 'saya menawarkan khidmat peminjaman wang secara berbunga.'), rakan bantuan kecemasan, dealer minyak wangi, rakan copy-pasted, rakan meroyan, rakan taulan, rakan muda, rakan... rakan... Terlalu banyak.



KAK (Khairul Anwar bin Haji Kodit atau Anjang)



PAP!!!

... uiii tak yah la nangis-nangis sekarang. Tunggu la 25 ni.
Sedihlah!
Nanti kanda pun balik jugak kan? Boleh jumpa lagi.
Ha ah lah weh. Rumah kita bukan jauh pun kan? Macam bongok je kanda nangis iye-iye ni. Kita kan jiran sebelah kampung. Ha ha ha... Ampes betul!

=)

Aku BUKAN Syiah

BismiLLAHirrahmanirrahim.


Sambil main lepak-lepak atas katil. Kerana sengal-sengal dan sakit-sakit badan belum hilang lagi akibat kemalangan tempoh hari, aku main baca-baca. Berkenalan dengan lebih rapat dengan sepupu Nabi Muhammad saw, merangkap menantu Baginda, merangkap Khalifah ar Rasyideen yang terakhir. Supaya. Kata-kata dan taipan aku akan lebih berhikmah kelak, hendaknya. Ehem ehem!




=)

Langgar Yang Mengena

BismiLLAHirahmanirrahim.


Petang tadi. Lepas pulang dari berfoya-foya dan menemani ahlibait shopping. Aku lintas jalan seperti biasa. Pemberitahuan: Keseluruhan jalan raya di Daqahliyyah adalah jalan sehala. Jadi. Aku hanya melihat kenderaan yang datang dari arah kanan sahaja. Tanpa ambil kesah apa-apa yang datang dari kiri kecuali manusia yang berjalan. Dalam keadaan
tergesa-gesa mahu segera sampai di rumah kerana pundi kencing aku seakan mahu meletup (baca: mahu kencing), aku lintas dengan perasaan yakin selamat.

Tiba-tiba.

Di sondol. Ditujah dengan sebuah kenderaan dari arah kiri. GEDEGANG~~~!!!

Tiiiiiiiiiiinnnnnnnnnnnggggggggggg... ... ... ... ... (terpelanting sambil melayang-melayang. Dengan perlbagai aksi macam penerjun payung terjun sempena Hari Tentera Udara)

Pelepek~~~!!! Jatuh terduduk dan terperosok di tepi bas kontot (baca: mini).

Aku tergamam. Segala neuron dan impuls berhenti mengejut. Nadi dan degupan jantung tidak aktif. 2 saat.

3, 4, 5...

Setelah beberapa saat kemudian.

Aku kembali mencari fokus. Gegendang telinga menangkap beberapa suara. Ya. Itu suara ahlibait aku. Tapi yang... siapa eh? Dia cakap apa? Bahasa apa? Ter-pending seketika.



Makcik itu seupaya membangunkan aku. Ahlibait tidak dapat berbuat apa. Kerana di kedua belah tangannya memegang 2 plastik beras (6 kilogram) dengan plastik-plastik shopping tadi. Dia cuma tolong tengok saja sambil bertanya keadaan aku baik atau sebaliknya. Tapak tangan kanan aku terasa pedih kerana terseret pada tar jalan raya yang baru berturap. Jari kaki kiri juga terasa pedih tapi teramat. Kemudian aku dipapah oleh makcik itu dan melintas jalan.

Aku mengucap terima kasih kepada makcik itu. Dia sempat berpesan supaya aku tuam dengan ais di tempat-tempat yang sakit. Aku terus berjalan dalam keadaan tengkak menuju ke rumah. Seorang makcik menjual buah tin di depan lorong rumah aku, tidak putus-putus mengucap maaf dan menyesali perbuatan orang-orangnya yang memang terkenal dengan sifat kasar itu. Aku buat muka beku (tiada berperasaan).

Sampai di rumah. Aku terus periksa seluruh badan. Pundi kencing yang mahu meletup tadi hilang jejak entah ke mana. Tapak tangan kanan bercalar sikit. Kulit jari kaki kiri cuma terkoyak. Terdapat luka pada bawah paru-paru kiri berukuran setengah jengkal aku. Berdarah! Isk isk isk. Setelah rehat 10 minit barulah badan terasa sengal-sengal dan sakit-sakit. Deria sakit aku kembali berfungsi. Jika tadi deria sakit dan deria rasa lumpuh atau buta seketika kerana tindakan refleks dari satu renjatan. Pinggang sakit. Tumit kanan sakit. Buntut sebelah kanan pun sakit.

Lepas berbuka. Lepas solat Maghrib aku bermuhasabah sendirian. Mungkin inilah balasan dosa aku semalam. Kerana bengang dan geram dengan 2 orang ustaz, habis semua ustaz aku rasa hendak sepak. Semalam aku bengang tahap petala tujuh! TUHAN bayar tunai di dunia. Isk isk isk. Insaf seketika. Dan satu lagi. Mujur tidak ada pendarahan yang memancut-macut macam air pancut dalam filem The Machine Girl yang merepek tahap dewa itu. Atau darah melimpah-ruah macam banjir dalam filem Flood. AlhamduliLLAH. Jika tidak. Tentu aku sudah muntah hijau dan lebih hijau dari Bruce dalam filem The Incredible Hulk. Aku kan mabuk darah. Alahan gitu. Aha ha ha.

Eh.

Pasti kalian tertanya-tanya. Aku ditujah dengan apa kan? Terlupa mahu taip di atas tadi. Aku dilanggar dengan sebuah basikal! Ya. Basikal. B.a.s.i.k.a.l yang sedang membawa barang. Dipandu oleh seorang pakcik. Dan aku terlupa mahu memberi pelangkongan, sekehan, kata-kata marah atau makian atau apa-apa saja yang berkaitan. Aku kan sedang berpuasa ketika itu. TUHAN mahu menyelamatkan puasa aku dari diskaun harga runtuh sempena bulan Merdeka bulan depan. Agaknyalah. AlhamduliLLAH.

=)


Pak-pak Kebung-kebung

BismiLLAHirahmanirrahim.


Aku kenal dengannya pada akhir tahun 2006. Ketika itu aku homeless di Syria. Dialah yang mengutip aku di Rumah Persatuan (Persatuan Pelajar Malaysia Syria, PPMS. Memang aku tak boleh lupa kenangan bersama 11 budak yang 'tersangkut' itu. Ha ha ha). Aku diajak untuk tinggal di Teratak Sina'ah (tersohor dengan panggilan Lembah) . Di situ aku tinggal dengannya juga bersama Sarah Amalina selama 36 hari. Dari 20 Ramadhan hinggalah 24 Syawal. Selama 36 hari tinggal bersama, aku kenal adik perempuannya; Ifa. Kenal dengan sebahagian watak dan tingkah lakunya. Kenal dengan garangnya. Kenal dengan ketidurannya. Kenal dengan rajin membacanya. Kenal dengan pakaiannya yang lebih suka memilih jubah hitam, tudung hitam, baju sejuk hitam, manto hitam...

Petang tadi. Syuk memberitahu. Dia sudah selamat diijab qabul pada 10 Julai lalu. Dengan pasangannya; lelaki berbangsa Arab yang berasal dari Turki dan menetap di Jerman, hasil usaha Bait Muslim. AlhamduliLLAH. Dan. Insya ALLAH. Majlis kendurinya akan di adakan pada 29 Julai ini di Damsyiq.

Mabruk! BarakALLAHu 'alaikuma.


=)



Aduh, Sakitnya!

BismiLLAHirahmanirrahim


Aku terasa hati. Terasa yang tersangat-sangat. Hati bagai disiat-siat. Macam menyeliat kulit katak hidup-hidup untuk dibuat sup. Sakit. Pedih. Meronta-ronta. Kadang-kadang hati menjadi lemas. Tolong! Tolong! Tolong!

Mungkin aku yang sensitif. Cepat terasa. Mungkin juga hormon aku tidak stabil ketika itu membuatkan perasaan aku jadi manja.

Memang aku terasa hati.

Dengan... ... ...

... ...

...

..

.

"Adakah kamu ingin membeli kenikmatan yang sementara di dunia ini dengan kesudahan hidup yang derita di akhirat kelak?"


Terpaksa meminjam. Kerana hasil rompakan yang bercetak bukan koleksi terbaik aku.


Pada aku.
Siapa yang tidak terasa hati dengan bacaan buku ini, sila buat pemeriksaan hati kalian. Tentu ada yang tidak kena.

=)



Bertemu Mata

BismiLLAHirahmanirrahim.


Semalam. Sedang aku kesebukan yang teramat, masih sempat main-main mata sambil main baca-baca buku.

Dengan siapa?

Ehem. Ehem. Ehem.

Ustaz Mohd Abdul Rahim Kamarulzaman. Orang Temerloh, Pahang. Tahun akhir. Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Jabatan Usuluddin, major di dalam Akidah dan Falsafah.



Zionisme: Orde Barat Menghancurkan Islam.


Ya. Kami baca buku sama-sama. Fikir sama-sama. Tetapi pening sorang-sorang. Sebab aku memang lambat 'tangkap' dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku Sebelum Masihi. Memang lambat. Seperti kuman patah kaki. Begitulah.

=)

Imajinasi

BismiLLAHirahmanirrahim.


Petang semalam. Aku menelefon orang rumah. Bertanya khabar berita.

Siti; sepupu (?) dari Pahang, sudah 15 hari berada di rumah. Lulusan pertanian itu sedang mengambil lesen memandu kenderaan di Langkap. Uik. Jauhnya. Adakah yuran ujian memandu di Perak jauh lebih murah dari di negeri Darul Makmur? Harus tanya orang-orang Pahang tentang perkara ini.

Bukan perkara itu.

Main gayut-gayut lendut dengan bonda. Tibalah sesi soal jawab bukan agama.

"Dah makan ke? Apa menu makan malam tadi?"
"Kami sekarang makan sehari sekali je. Jimat. Itu pun makan bubur nasi je. Tengok, Siti pun dah kurus."
"Hah? Siti dah kurus? Biar betul? Tak apalah. Dia banyak duit."
"Mesti kamu fikir Siti Datuk tu. Siti yang pakai cermin mata anak Cik Kiah ni ha... Kamu ni sekolah sampai sana pun asyik ingat hiburan saja."
"Errr... (kena sebijik) Pengetahuan am tu bonda. Tak lah orang kata jumud sangat orang pakai tudung ni... (cover malu. Biar pun bonda tak nampak) Ha ha ha."


Sekarang. Purata harian. Ayahanda terpaksa memperuntukkan RM60 untuk menggerakkan enjin-enjin kenderaan dan mesin-mesinnya. Lebih kurang 22 liter minyak petrol ayahanda guna setiap hari. Dan. Apabila didarabkan dengan sebulan (30 hari); RM1800 khusus untuk petrol sahaja. Itu belum keperluan lain lagi. Benda-benda wajib, sunat, harus... Duit. Duit. Duit...


Jika kenaikan harga ini berlarutan hingga 40 tahun akan datang. Aku jangka (imajinasi kejam). Penduduk Malaya bakal menjadi seperti negara Rwanda, Somalia... Negara-negara miskin yang tidak cukup zat (makanan). Berkepala besar, berdada rangka, berperut buncit, berkaki runcing. Tidak mampu berjalan dan hanya didukung. Berlalat-lalat. Bila tiba bantuan makanan, berbondong-bondong mengerumuni lori-lori yang sarat dengan makanan juga pakaian itu. Jika sesudu bubur jatuh ke tanah, segera disauk dengan tapak tangan dan terus menyuap ke mulut.

Atau pun.

Seperti hidup zaman cowboy. Jenayah rompakan, mencuri, menyamun, rasuah... adalah perkara biasa. Baik dari golongan bangsawan hinggalah ke Sheriff dan Marshal. Seperti mengerdipkan mata. Tiada tindakan halangan atau mahu menanganinya. Siapa kaya, yang cantik pakaiannya, kot berekor putih, bertopi tinggi, berjam rantai, berambut Scarlett, bergaun gebu dengan payung berenda; dia berkuasa. Siapa yang berhabuk, berkasut prevail basikal, dia bakal bersaing menembak untuk mendapatkan habuan wanted reward. Dan tempat paling strategik bagi adegan tembak-menembak dan bergaduh adalah di kedai arak.

Oh.
Aku tak mahu jadi begitu!


Oh, Bakal Ibu Mertuaku

BismiLLAHirahmanirrahim.


Nampaknya. Bakal ibu mertua aku mahu beramah-mesra. Mahu mengeratkan silaturrahim (baca: hubungan kekeluargaan). Seolah-olah aku telah diterima sebagai ahli keluarganya. Itu pasti!

Aha ha ha.

Dengan penuh kasih sayang, Ummi AuliyaHensem (baca: bakal ibu mertua aku) telah menge-tag aku.


i
Ketaasuban Warna.

Aku tidak fanatik dengan satu-satu warna. Tetapi warna kesukaan aku adalah warna; cokelat. Kalau boleh semua benda aku mahu cokelat-kan. Dan. 2 warna lain tersenarai; hitam dan putih. Akan tetapi. Masih ada warna-warna kureng yang ada di sekeliling aku.



ii
7 Perkara Rawak Tentang Diri.

1. Anak tunggal di dalam keluarga ... ... ... ... yang belum berumahtangga.
2. Agak taasub dengan nombor 1.
3. Suka buang masa.
4. Suka makan. Tak suka masak.
5. Takut dengan kucing dan belon.
6. Bukan kidal.
7. Perempuan.

Agak-agaknya. Setelah mengetahui perkara 3 dan 4 di atas, masih kekal lagikah nama aku di dalam senarai bakal menantunya???
=)



Aku

Orang yang suka bermain-main, berfoya-foya, berpeleseran, melepak...

Daqahliyyah